Wednesday, November 25, 2009

AGAMA : HAJI MUDA : TIP TIP MENJADI TETAMU ALLAH

TAJUK : HAJI MUDA : TIP TIP MENJADI TETAMU ALLAH

PENULIS : RIDZWAN BAKAR

HARGA : RM19.00

SINOPSIS :

Buku ini ditulis bagi mengisi vakum yang kurang diisi oleh penulis-penulis lain khususnya bagi membina semangat haji bagi generasi muda. Sesuatu yang saya fikirkan ketika menunaikan haji pada 2002 dan diikuti oleh umrah pada 2003, 2004, 2006 dan 2008, ternyata rakyat Indonesia membangkitkan semangat haji muda ini. Secara kasar (bukan kajian ilmiah), rata-rata Indonesia diwakili oleh orang muda berpasangan suami-isteri, boleh dikatakan komposisi yang seimbang antara orang muda dan warga emas. Berpaksikan kepada keinginan ini, usaha bagi menulis catatan perjalanan dan tarbiah haji bagi orang muda sepatutnya dikongsi bersama.
Semua individu Muslim mahu melaksanakan haji tetapi menangguhkan hasrat kerana dua faktor utama iaitu belum sampai seru dan himpitan kewangan. Buku ini disusun bagi memberi kita peluang berfikir, belum sampai seru dan himpitan kewangan dapat diatasi, justeru merealisasikan haji muda.

Kandungan buku ini meliputi aspek seruan haji, menggoncang minda keinsafan, mencadangkan persediaan, cabaran haji dan panduan kewangan bagi bakal tetamu Allah. Bagi saya, seruan haji sepatutnya lahir dari dalam diri dan diterjemahkan melalui perbuatan. Semua orang perlu mencari ‘seruannya’ sendiri dengan membuat perancangan haji semasa muda, berazam sungguh-sungguh dan diikuti dengan doa.
Justeru, buku ini ditulis bagi menggarap peluang dan bermatlamat:

1. Mengajak menunaikan kewajipan haji ketika usia muda
Pengolahan jalan cerita memberi inspirasi kepada pembaca betapa pentingnya melaksanakan haji pada usia muda.

2. Menjemput pembaca berfikir falsafah Haji.
Terdapat empat konteks yang cuba saya ketengahkan. Pertama, hakikat seru. Kedua, taubat dan mohon keinsafan. Ketiga pentingnya ilmu dan mendekati sejarah nabi. Keempat apakah bentuk pendidikan haji yang menuntut kita laksanakan khususnya selepas selesai haji. Mampukah dan layakkah kita memohon Syurga Firdaus atau sekadar berada di syurga setinggan?

3. Memberi panduan haji
Sedikit panduan ringkas persediaan haji meliputi aspek fizikal, kewangan dan rohani. Buku ini disusun mengikut perjalanan penulis sebelum, ketika berada di tanah suci dan selepas melengkapkan haji. Ia ditambah nilai dengan pengalaman umrah selepas haji.

4. Tips pengurusan kewangan haji
Semua insan bercita-cita untuk ke tanah suci, kemungkinan selepas pencen. Apabila perkara ini dibincangkan dengan teman-teman, perkara pokok yang difikirkan adalah di mana hendak mencari duit? Buku ini memberi sedikit tip kepada bakal haji muda dan ibu bapa dalam merancang kewangan keluarga dan anak-anak serta sesuai menjadi panduan umum pengurusan kewangan kepada pembaca.

5. Pelengkap kepada siri buku ‘Travelog Haji‘ yang diasaskan oleh Prof Dr. haji Muhd Kamil Ibrahim dan Penerbit PTS Islamika.
Buku terdahulu, ‘Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman’ (selepas ini dirujuk sebagai THMSI) membimbing pembaca terus ke Mekah terlebih dahulu dan kemudian Madinah. Buku ini pula memimpin pembaca bagi menghayati haji semasa di Madinah bagi menggarap peluang memperoleh haji terbaik sebelum melangkah ke Mekah. Pembaca akan memperoleh manfaat daripada kedua-dua buku dengan catatan perjalanan yang berbeza. Dari sini (khusus bakal tetamu Allah yang pertama kali melangkah ke tanah suci), mereka akan mendapat gambaran perjalanan daripada dua perspektif dan bolehlah membuat perancangan perjalanan haji dari awal. Hakikatnya, kedua-dua buku mengajak pembaca berfikir dan mencadangkan panduan berguna yang dapat dimanfaatkan oleh bakal tetamu Allah.

Isi Kandungan

Bab 1: Antara Keseronokan Duniawi Dan Mencari Keredaan Allah
Bab 2: Haji : Kekuatan Visi dan Hakikat Seru
Bab 3: Kursus Haji dan Taubat
Bab 4: Semangat Haji Arwah Abah
Bab 5: Muasasah, Mercedes Biru dan Pakej Haji
Bab 6: Tempoh Haji 32 Hari
Bab 7: Mengapa Pergi Haji Pada Usia Muda ?
Bab 8: Ujian Perubatan
Bab 9: Mekah Bakal Diserang
Bab 10: Cabaran Emosi Melanda Dua Ibu
Bab 11: Jeddah : Imigresen Oh, Imigresen...
Bab 12: Tenangnya Madinah
Bab 13: Kedamaian Raudah
Bab 14: Kenapa Solat Jenazah Tiada Rukuk dan Sujud
Bab 15: Kehebatan Baqi
Bab 16: Ratapan Uhud
Bab 17: Malaikat Subuh I : Gula-gula Murah
Bab 18: Sesat: Di mana Rumah Helikopter
Bab 19: Kaedah Perhubungan Ketika di Tanah Suci
Bab 20: Solat 40 Waktu di Masjid Nabawi
Bab 21: Ziarah Wida’
Bab 22: Tayar Bas
Bab 23: Pemandu Bas Kena Ketuk Kepala
Bab 24: Umrah Wajib
Bab 25: Hilangnya Selera Makan & Restoran Afnan
Bab 26: Tabiat Orang Kita
Bab 27: Macam Mana Hendak Keluarkan Duit Di Mekah?
Bab 28: Solat Jumaat Yang Menyeksakan
Bab 29: Persiapan Wukuf
Bab 30: Perjalanan Wukuf, Satu Keinsafan
Bab 31: Arafah Yang Dipersiakan
Bab 32: Sesat di Mina
Bab 33: Tawaf Penuh Cabaran
Bab 34: Lontaran Maut - Jamrah
Bab 35: Buat Apalah Pergi Jemur Batu?
Bab 36: Maafkan Saya Makcik Yah
Bab 37: Tumbang Dengan Gelaran “Haji”
Bab 38: Hajah Muda Dan Malaikat Subuh II
Bab 39: Teori Aswad II (Laluan RIDZ)
Bab 40: Tawaf & Orang Tua Bongkok
Bab 41: Kristal Bergolek Depan Kaabah
Bab 42: Peminta Sedekah Profesional
Bab 43: Apabila Hati Berdetik dan Mulut Celopar
Bab 44: Ujian Buat Pak Teh
Bab 45: Dato’ ABC
Bab 46: Suka Duka Shopping Di Mekah
Bab 47: Tawaf Wida’ & Tangisan Mekah
Bab 48: Haji, Tawaf dan Perubahan Diri